Wednesday, December 10, 2008

Kerentanan sistem pengendalian

Lagi satu perbandingan antara virus komputer dengan virus biologi adalah bahawa kepelbagaian genetik dalam sesuatu populasi akan mengurangkan kemungkinan seluruh populasinya dihapuskan oleh satu penyakit yang tunggal. Serupa juga, kepelbagaian sistem perisian dalam rangkaian membatasi potensi virus untuk menghapuskannya. Bagaimanapun, ini kemudian menjadi suatu kebimbangan pada dekad 1990-an apabila Microsoft menguasai pasaran sistem pengendalian komputer meja dan suit pejabat, dengan para pengguna perisian Microsoft (khususnya perisian perangkaian seperti Microsoft Outlook dan Internet Explorer) amat mudah terdedah pada bahaya perebakan virus.

Perisian Microsoft telah disasarkan oleh para pencipta virus kerana penguasaan komputer mejanya, dengan perisian-perisiannya sering dikritik kerana mengandungi banyak kesilapan dan peluang untuk para penulis virus mengeksploitasikan. Perisian-perisian penggunaan, baik yang bersepadu mahupun yang menggunakan bahasa penskripan dengan kemudahan untuk mencapai sistem fail (umpamanya Skrip Visual Basic (VBS) dan perisian penggunaan dengan ciri-ciri perangkaian), juga amat mudah terdedah pada bahaya perebakan virus.

Walaupun Windows merupakan sasaran serangan sistem pengendalian yang popular kepada para pencipta virus, sesetengah virus juga wujud untuk pelantar-pelantar yang lain. Sebenarnya, mana-mana sistem pengendalian yang membenarkan atur-atur cara pihak ketiga untuk dilaksanakan secara teori juga boleh melaksanakan atur cara virus. Sesetengah sistem pengendalian adalah lebih selamat berbanding dengan lain. Sebagai contoh, sistem pengendalian berasaskan Unix (dan perisian NTFS untuk pelantar-pelantar berasaskan Windows NT) hanya membenarkan penggunanya melaksanakan fail boleh laku di dalam ruang terlindung yang terletak di dalam direktori masing-masing.

Sehingga tahun 2006, tidak terdapat banyak kejadian keselamatan [1] yang menyasarkan Mac OS X (dengan sistem fail berasaskan Unix). Kerentanan-kerentanannya yang diketahui terangkum dalam pengelasan cecacing dan kuda Trojan. Anggaran bilangan virus untuk Mac OS Klasik, sistem pengendalian Apple yang lebih lama, amat berbeza dari sumber ke sumber, dengan Apple menyatakan bahawa terdapat hanya empat virus yang diketahui, dan sumber-sumber bebas memberikan bilangan sebanyak 63. Walaupun demikian, adalah selamat untuk mengatakan bahawa komputer Mac kurang mungkin dieksploitasikan kerana tapak Unix yang selamat, serta juga kerana virus khusus Mac hanya berupaya menjangkiti sebahagian yang kecil daripada komputer-komputer Apple dan oleh itu, menyebabkan usaha itu tidak begitu mengghairahkan.

Kerentanan terhadap virus antara Mac dan Window merupakan tumpuan jualan utama yang dipergunakan oleh Apple Computers untuk memujuk para pengguna komputer Microsoft supaya beralih kepada komputer Apple (Dapatlah Mac). Secara ironi, jika terjadinya peralihan tapak pengguna daripada komputer peribadi kepada Mac, maka pelantar Mac OS X kemudian akan menjadi sasaran yang lebih mengghairahkan kepada para pencipta virus. Oleh sebab tidak adanya banyak penyelesaian anti-virus untuk pelantar OS X pada masa ini, terdapat kemungkinan bahawa ini dengan amat cepatnya akan menjadi suatu masalah yang besar kepada para pengguna Mac, dengan syarikat Apple Computers betul-betul menjadi mangsa kepada kejayaan sendiri.[2]

Windows dan Unix mempunyai keupayaan penskripan yang serupa, tetapi sedangkan Unix menyekat semua pengguna biasanya daripada membuat perubahan kepada sekitaran sistem pengendalian, Windows tidak berbuat begitu. Pada tahun 1997, ketika suatu virus untuk Linux dibebaskan (dikenali sebagai "Bliss"), para penjual perisian anti-virus yang utama memberikan amaran bahawa sistem-sistem bak Unix akan menjadi mangsa kepada virus-virus seperti dengan Windows.[3]

Virus Bliss boleh dianggap sebagai virus yang tipikal – bertentangan dengan cecacing – untuk sistem-sistem Unix. Ia memerlukan pengguna melaksanakannya secara eksplisit (dan dengan itu, menyebabkannya merupakan salah satu kuda Trojan), dan hanya berupaya menjangkiti atur-atur cara yang dicapai oleh pengguna untuk membuat perubahan. Berbeza dengan para pengguna Windows, kebanyakan pengguna Unix tidak log masuk sebagai pentadbir kecuali untuk memasang atau menatarajahkan perisian. Oleh itu, walau jika pengguna dapat melaksanakan atur cara virus, perbuatannya tidak akan menjejaskan sistem pengendalian. Virus Bliss tidak pernah merebak, dan hanya merupakan suatu keanehan penyelidikan. Penciptanya kemudian memaparkan kod sumber virus itu di tapak web Usenet dan dengan itu, membenarkan para penyelidik melihat bagaimana ia berjalan.[4]

No comments:

Post a Comment