Wednesday, December 10, 2008

Langkah balas

Peranan pembangunan perisian

Oleh sebab perisian sering direka bentuk dengan ciri-ciri keselamatan untuk mencegah penggunaan sumber sistem tanpa kebenaran, banyak virus harus mengeksploitasikan pepijat perisian di dalam sesebuah sistem atau perisian penggunaan supaya dapat merebak. Strategi-strategi pembangunan perisian yang menghasilkan banyak pepijat umumnya juga menggalakkan serangan virus.

Perisian anti-virus dan langkah balas pencegahan


Terdapat dua kaedah yang biasa digunakan oleh perisian anti-virus untuk mengesan virus. Yang pertama dan yang merupakan kaedah pengesanan virus yang jauh lebih biasa adalah dengan menggunakan sebuah senarai takrif tandatangan virus. Kelemahan kaedah pengesanan ini adalah bahawa para pengguna hanya dilindungi daripada virus-virus yang tersenarai pada kemas kini takrif virus yang terakhir. Kaedah yang kedua menggunakan algoritma heuristik untuk mencari virus berdasarkan tindakan-tindakannya yang serupa. Kaedah ini berupaya untuk mengesan virus yang firma-firma keselamatan anti-virus masih belum dapat mencipta tandatangannya.

Banyak pengguna memasang perisian anti-virus yang boleh mengesan dan menghapuskan virus-virus yang diketahui selepas komputernya telah memuat turun atau melaksanakan fail boleh laku. Ia berjalan dengan memeriksa heuristik kandungan ingatan komputer (RAM dan sektor but) serta fail-fail yang disimpan di dalam pemacu tetap atau boleh alih (pemacu cakera keras, pemacu cakera liut), lalu membandingkan fail-fail itu dengan sebuah pangkalan data yang mengandungi "tandatangan" virus. Sesetengah atur cara anti-virus berupaya mengimbas fail-fail yang terbuka, selain daripada e-mel yang dikirimkan dan diterima secara tergesa-gesa dengan cara yang sama. Amalan ini dikenali sebagai "pengimbasan pada capaian". Perisian anti-virus tidak mengubah keupayaan dasar perisian perumah untuk menghantar virus. Para pengguna harus mengemaskinikan perisian anti-virus mereka dengan tetap untuk menampung lubang-lubang keselamatan serta juga untuk perisian anti-virus mereka memperoleh pengetahuan tentang ancaman-ancaman yang terkini.

Seseorang juga boleh mencegah kerosakan yang dilakukan oleh virus dengan mencipta data (dan sistem pengendalian) sandar secara tetap pada medium yang berlainan, baik disimpan secara berasingan daripada sistem (bagi kebanyakan masanya), atau secara baca sahaja, ataupun secara tidak boleh dicapai atas alasan-alasan yang lain, seperti menggunakan sistem fail yang berlainan. Dengan cara ini, jika data hilang kerana virus, seseorang masih dapat memulakan semula dengan menggunakan fail-fail sandar (yang seelok-eloknya merupakan fail sandar baru-baru ini). Jika sidang sandar pada medium optik seperti CD dan DVD ditutup, ia menjadi baca sahaja dan tidak boleh lagi terjejas oleh virus. Serupa juga, sebuah sistem pengendalian yang disimpan dalam cakera boleh but boleh digunakan untuk memulakan komputer jika sistem pengendalian yang dipasang dalam komputer tidak boleh digunakan.

Lagi satu kaedah adalah untuk menggunakan sistem pengendalian yang berbeza daripada sistem fail. Sesuatu virus tidak begitu mungkin akan menjejaskan kedua-dua sistem itu. Sokongan data juga boleh menggunakan sistem-sistem fail yang berbeza, umpamanya Linux memerlukan perisian yang khusus untuk menulis pada petak NTFS dan oleh itu, jika seseorang tidak memasang perisian tersebut dan sebaliknya menggunakan pemasangan MS Windows yang berlainan untuk mencipta fail sandar pada petak NTFS (dan seelok-eloknya hanya untuk alasan ini), fail-fail sandar itu harus selamat daripada sebarang virus Linux. Serupa juga, MS Windows tidak boleh membaca sistem-sistem fail seperti ext3 dan oleh itu, jika seseorang biasanya menggunakan MS Windows, fail-fail sandar boleh dicipta pada petak ext3 dengan menggunakan pemasangan Linux.

Kaedah pemulihan

Sebaik sahaja sebuah komputer terjejas oleh virus, komputer itu biasanya tidak selamat untuk diteruskan penggunaannya, tanpa memasang semula sistem pengendalian komputer itu. Bagaimanapun, terdapat sebilangan cara pemulihan yang sedia ada selepas sesuatu komputer terjejas oleh virus. Tindakan-tindakan yang boleh diambil bergantung kepada teruknya jenis virus yang terlibat.

Pemulihan data

Rencana utama: Pemulihan data
Penghapusan virus


Satu langkah yang mungkin untuk menghapuskan virus yang wujud dalam Windows XP ialah penggunaan alat yang dikenali sebagai Pemulihan Sistem (System Restore). Alat ini memulihkan registri dan fail-fail sistem yang genting kepada titik semak yang dahulu.

Seringnya, sesebuah virus akan mengakibatkan sistem komputer tergantung, dengan pembutan semula keras akan merosakkan titik pemulihan sistem daripada hari yang sama. Titik pemulihan daripada hari-hari sebelumnya harus masih berkesan, asalkan virus itu tidak direka untuk merosakkan fail-fail pemulihan. Bagaimanapun, sesetengah virus, misalnya virus CiaDoor, akan mematikan pemulihan sistem serta alat-alat lain yang penting seperti Pengurus Tugas (Task Manager) dan penggesa. Virus mengubah suai registri dengan cara yang tepat sama dengan para pentadbir mematikan alat-alat tersebut atas berbagai-bagai alasan daripada pengguna-pengguna terhad, kecuali bahawa virus menyekat semua pengguna, termasuk juga pentadbir. Apabila sesuatu alat terjangkit diaktifkan, virus itu akan memaparkan pesanan, "Pengurus Tugas telah dimatikan oleh pentadbir anda", walaupun jika pengguna yang mencuba memulakan atur cara adalah pentadbir pada dirinya.

Pemasangan semula sistem pengendalian

Sebagai usaha langkah terakhir, jika sistem anda mempunyai virus dan perisian anti-virus tidak dapat membersihkannya, pemasangan semula sistem pengendalian mungkin diperlukan. Untuk berbuat demikian dengan betul, cakera keras harus dipadamkan sama sekali (dengan pemetakannya dipadamkan dan diformat) dan sistem pengendalian dipasang daripada medium yang diketahui tidak dijangkiti. Fail-fail sandar harus dicipta untuk fail-fail yang penting, jika mungkin, dan diimbas secara berasingan untuk mengesan jangkitan sebelum cakera keras yang asal dipadamkan dan sistem pengendalian dipasang semula.

No comments:

Post a Comment